Friday, January 13, 2012

Tegur dengan cara yang baik

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim).


Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk." (Surah al-Hujurat, ayat 11).


Jika dilihat secara positif, terdapat beberapa cara yang dituntut Islam bagi menyuarakan sesuatu pendapat atau mengajak manusia ke arah kebaikan.


Contohnya, apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun bagi menerima keesaan Allah, lalu diperintah mereka menuturkan kata-kata yang lembut dan bukan dengan angkuh atau menggunakan kekerasan.


Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." (Surah Toha, ayat 43-44).


Konsep tegur-menegur secara berhikmah dan berhemah adalah sesuatu yang amat indah bagi menggambarkan keindahan Islam itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda berkaitan perihal menegur pemimpin yang antara lain bermaksud. "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan.


Tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan nasihatilah dia secara sembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad).


Budaya tegur menegur secara keras perlu dibendung agar ia tidak menjadi acuan serta budaya dalam masyarakat di negara ini.Jika budaya ini menular, anak-anak mudah memberontak kepada kedua orang tuanya, murid cepat melenting dengan gurunya malah pekerja tiada kerja lain melainkan mahu menunjuk perasaan kepada majikannya sahaja.


Sesungguhnya Islam menyeru umatnya jangan mendedahkan keaiban orang lain. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud).